KARYA-KARYAKU


Tuesday, April 28, 2009

DRAMA TV KISAH SEJARAH

Kita mempunyai ramai pahlawan terbilang. Alangkah bagusnya jika kisah mereka di filem atau dijadikan drama TV.

Di Negeri Sembilan ada Datuk Moyang Saleh dan Pendekar Siamang Gagap. Di Melaka Dol Said Pahlawan Naning. Di Johor Si Bongkok Tanjung Puteri, di Kelantan Tok Janggut, di Pahang Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Di Sarawak Rentap dan ramai lagi.

Apabila kisah sejarah tanah air dijadikan drama tv pastinya boleh menarik minat orang ramai terutama generasi muda mengetahui serta menghayati sejarah tanah air kita. Dengan ini boleh memupuk semangat kebangsaan serta menanamkan rasa cinta terhadap Negara kita.

Sesungguhnya, pengetahuan tentang sejarah Tanah Air akan mendorong kepada kefahaman dan perpaduan. Sejarah juga memainkan peranan sebagai pencari kebenaran, pembentuk sikap yang kritis, pemupuk semangat kebangsaan dan pencipta keperibadian kebangsaan Malaysia.

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Wahai YB Datuk Seri Utama, alangkah bagus sekiranya RTM dapat menyiarkan drama kisah-kisah sejarah tanah air kita.

Kisah sejarah pahlawan Mat Kilau antara yang menarik dijadikan drama tv.



Setelah Roboh Kota Melaka juga boleh dijadikan drama tv.


Semoga satu hari nanti kisah Si Bongkok Tanjung Puteri ini dapat ditonton melalui tv.



Novel Leftenan Adnan ini juga boleh diadaptasikan untuk drama tv.





Saturday, April 18, 2009

MUTIARA HITAM RASULULLAH

"Saya ini seorang hamba, tuan boleh buat apa saja yang tuan suka ke atas diri saya. Tetapi itu cuma pada tubuh kasar saja. Tuan tidak dapat menguasai fikiran saya, perasaan saya dan hati saya. Penyiksaan yang tuan lakukan tidak dapat mengubah keyakinan saya terhadap Islam," begitu kata-kata Bilal bin Rabah ketika disiksa oleh tuannya Umaiyah bin Khalaf.


Gambar hiasan dilukis oleh En. Ruslan

Bilal bin Rabah lahir di daerah as-Sarah yang terletak di pinggir Kota Mekah 43 tahun sebelum hijrah. Ayahnya bernama Rabah, ibunya bernama Hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Karena itu ada yang memanggil Bilal dengan gelaran ibnus-Sauda' (putra wanita hitam).

Bilal dibesarkan di kota Mekah sebagai seorang hamba milik keluarga Bani Abdul Dar. Setelah ayahnya meninggal dunia Bilal diserahkan kepada Umayyah bin Khalaf, seorang tokoh penting kaum Quraisy.

Bilal termasuk mereka yang awal memeluk Islam. Apabila Umaiyah mendapat tahu lalu diseksanya Bilal tanpa belas kasihan supaya kembali ke agama asal serta menjadi pengajaran kepada yang lain. Namun Bilal enggan tunduk dengan kehendak Umaiyah.

Kerana itu Bilal bin Rabah disiksa oleh Umaiyah tanpa henti. Mula-mula dipukul kemudian diarak keliling Kota Mekah. Kerana Bilal masih berdegil maka dijemur di atas pasir tanpa diberi makan dan minum. Ketika matahari tegak di atas kepala dan padang pasir panas membara Bilal dipakaikan baju besi lalu dibiarkan berjemur di bawah terik cahaya matahari. Tidak cukup dengan itu Bilal disebat dengan cemeti dan ditindih dadanya dengan batu. Namun Bilal tetap teguh imannya menghadapi penyiksaan tersebut. Umaiyah memaksa Bilal menyebut nama al Latta dan al Uzza tetapi mulut Bilal menyebut “Allah...Allah…Allah.”

Siksaan terhadap Bilal itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as Siddiq lalu membelinya dari Umaiyah dengan harga Sembilan uqiyah emas. Menurut Umaiyah jika Abu Bakar membelinya dengan satu uqiyah emas pun dia akan menjual hambanya itu. Munurut Abu Bakar pula jika Umaiyah menjualnya dengan harga 100 uqiyah emas pun dia sanggup membelinya.

Apabila Nabi Muhamad diberitahu mengenai perkara itu baginda memuji Abu Bakar as Siddiq dengan berkata "Kalau begitu, biarkan aku berkongsi denganmu untuk membayarnya, wahai Abu Bakar."

“Wahai Rasulullah, saya sudah pun membayarnya kepada Umaiyah dan sudah memerdekakan Bilal,” kata Abu Bakar as Siddiq pula.

Bilal bin Rabah pernah hidup pada tiga zaman iaitu zaman Jahiliyah atau zaman sebelum kedatangan Islam, Zaman Nabi Muhamad SAW pembawa risalah Allah dan Zaman Khalifah ar Rasyidin iaitu pada zaman pemerintahan Abu Bakar as Siddiq dan Umar al Khattab.

Pada zaman Jahiliyah Bilal menjadi hamba kepada Umaiyah. Pada zaman Rasulullah beliau dilantik menjadi tukang azan (Bilal). Beliau juga turut serta semua peperangan yang disertai Rasulullah SAW.

Sesudah Nabi Muhamad SAW wafat, Bilal merasakan satu kehilangan dalam kehidupannya. Kerana berasa sangat sedih menyebabkan beliau tidak mampu menyebut naman “Muhamad” dalam sebutan azan yang dilaungkannya. Akhirnya Bilal tidak sanggup lagi menjadi tukang azan.


Pada masa pemerintahan Khalifah Sayidina Abu Bakar as Siddiq, Bilal meminta izin untuk pergi berperang menentang mereka yang engkar membayar zakat dan mengaku menjadi nabi. Tetapi tidak dibenarkan oleh Abu Bakar as Siddiq kerana beliau memerlukan khidmat Bilal di Madinah.

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, sekali lagi Bilal meminta izin untuk pergi berperang menentang tentera Rom. Kerana desakan yang begitu kuat daripada Bilal, akhirnya dibenarkan. Bilal membawa isterinya sama-sama pergi berjihad pada jalan Allah. Keduanya turut bersama tentera Islam menakluk Baitul Maqdis.

Semasa Bilal bin Rabah mengerjakan ibadat haji penduduk Mekah meminta beliau menetap di Kota Mekah dan menjadi tukang azan (Bilal) di Masjidil Haram. Tetapi ditolak oleh Bilal.

Apabila pulang ke Madinah Ali bin Abu Talib memujuk Bilal supaya tinggal di Madinah dan meneruskan semula khidmatnya sebagai tukang azan di Masjid Nabi. Tetapi ditolak juga oleh Bilal. Kemudian Khalifah Umar al Khattab sendiri yang memujuk Bilal namun tidak Berjaya juga. Kerana tidak sanggup berada di Madinah maka Bilal membawa isterinya berpindah ke Syam.

Penduduk Syam juga meminta Bilal menjadi tukang azan. Tetapi Bilal enggan sehingga mereka marah terhadap Bilal. Akhirnya Bilal membawa isterinya ke Damsyik.

Bilal bin Rabah meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah/ 641 Masihi dan dikebumikan di Damsyik. Ketika itu beliau berumur 63 tahun.


Wednesday, April 8, 2009

TEGURAN PEMBACA

Penulis perlu menghormati pendapat pembaca. Itu saya akui. Tetapi apabila pembaca mengirim emel minta penjelasan maka saya perlu menjawabnya. Saya jawab di blog ini supaya dapat dikongsi bersama dengan pembaca yang lain.


Saudara Pengarang

Saya sudah membaca novel Umar al Khatab Refomis Dunia Islam. Di sini saya ingin membuat teguran mengenai kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup seperti yang terdapat dalam novel itu. Kisah itu tidak pernah berlaku dan mustahil berlaku tetapi sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk mencemarkan nama baik sahabat nabi itu. Sepatutnya penulis merujuk dulu kepada ayat al Quran dan al Hadis.

Saya ingin bertanya pengarang, adakah kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup itu terdapat dalam hadis?. Padahal Umar al Khattab hidup pada zaman nabi.

Hujah yang kedua. Kalau Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup, kenapa Hafsah dan beberapa orang lagi anak perempuannya yang dilahirkan semasa jahiliyah tidak ditanam hidup-hidup?. Tidakkah penulis terfikir perkara itu sengaja diada-adakan oleh mereka yang sengaja hendak memburukkan sahabat nabi itu?.

Sahabat nabi adalah mereka yang pernah hidup pada zaman Nabi Muhamad SAW. Mereka semua dinamakan sahabat nabi. Sahabat nabi tidak boleh dicela atau diburuk-burukan . Jika pun benar ada di antara mereka yang pernah melakukan kesilapan, itu antara mereka dengan Tuhan, kita tidak boleh menyebarkannya.

---------------------------------------------------------------

Jawapan saya.

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh

Terlebih dulu saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat menulis kisah sejarah Islam dalam bentuk novel. Terima kasih kepada penerbit PTS yang menerbitkan novel tersebut. Dan terima kasih kepada pembaca yang membeli dan membacanya.

Saya selalu ditanya, apa tujuan saya menulis novel sejarah Islam?. Tujuannya tidak lain untuk menceritakan semula kisah-kisah sejarah itu dalam bentuk novel supaya mudah dibaca terutama oleh anak-anak muda. Tambahan pula novel sejarah Islam ini belum ramai yang menulisnya.

Menulis novel sejarah mestilah ada fakta-faktanya kerana tidak boleh direkacipta. Fakta-fakta itu terdapat dalam buku-buku sejarah.

Saya cuma menceritakan semula kisah sejarah itu berdasarkan fakta-fakta popular yang dikutip dari buku-buku sejarah. Saya tidak mampu untuk menulis semula sejarah dalam bentuk baru.

Sebagai contoh, kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup. Itu adalah fakta popular yang terdapat dalam banyak buku sejarah. Kisah itu sudah diceritakan oleh penulis buku-buku sejarah Islam semenjak dahulu. Saya cuma menceritakannya semula kisah tersebut dalam bentuk novel.

Kerana itu pembaca perlu menilainya dari sudut ilmu sejarah bukan dari hukum ilmu tasawuf.

Dalam ilmu sejarah kebenaran itu dapat dibuktikan melalui catatan sejarah.

Menurut Prof Teeuw, dalam karya sejarah yang paling ilmiah sekalipun ada aspek yang subjektif yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya. Hal ini disebabkan, Fakta sejarah tidak pernah disampaikan kepada kita dalam keadaan murni kerana sentiasa dihias melalui fikiran si pencatat.

Menurut Lamarque, sejarah dihasilkan dengan niat menggambarkan semula peristiwa masa lalu secara yang sebenar-benarnya. Penulisan novel sejarah berdasarkan ketepatan fakta, kebenaran dan ketetapannya.

Bagi umat Islam rujukan paling tepat adalah al Quran dan al Hadis. Tetapi kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup memang tidak terdapat dalam hadis. Tetapi ada diceritakan dalam buku-buku sejarah. Itu fakta yang popular.

Menanam anak perempuan hidup-hidup memang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah. Tetapi tidak semua anak perempuan ditanam. Kerana itu turun wahyu melarang membunuh anak perempuan.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang besar.” (Al Isra’ ayat 31)

“Apabila bayi-bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup akan ditanya apakah dosa mereka dibunuh?” (at Takwir ayat 9)

Kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup berlaku ketika dia masih jahiliyah. Jika perkara itu memang benar berlaku tidak menjatuhkan maruahnya kerana ketika itu dia belum memeluk Islam.