Friday, February 27, 2009

DI BAWAH TIKAMAN GARPU


Saya terbaca entri mengenai buku ini dari blog.


http://shapiaimohdramly.blogspot.com/


Begitu hebatnya semangat orang-orang Melayu ketika menentang Malayan Union. Di Johor sahaja orang ramai keluar sehingga mencecah 18,000 orang. Di negeri lain juga tidak kurang hebatnya. Antara tenaga penggerak menentang Malayan Union ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar.

Tetapi Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu akhirnya berjaya juga dilaksanakan oleh British dengan menggunakan tipu helahnya memujuk pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu apabila menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Contohnya, di bawah Malayan Union, orang asing boleh diberikan taraf kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli (boleh menjadi rakyat Malaya jika mereka lahir di tanah Melayu). Itu perkara utama yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Tetapi apa yang terjadi selepas itu?. Mereka tetap juga mendapat kerakyatan.

Kenapa terjadi begitu?. Orang Melayu ini taat kepada ketua. Bila ketua kata setuju maka semua akhirnya setuju.

Sejarah sudah berlalu dan kita tidak boleh berpatah ke belakang semula. Cuma kita bimbang jika pemimpin kita terus bertolak ansur akhirnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu jika bahasa sendiri tidak dapat dipertahankan.

Monday, February 23, 2009

AKAN TERBIT



Ali bin Abu Talib dilahirkan pada tahun ke 9 sebelum Muhamad menjadi Rasul. Usianya 31 tahun lebih muda daripada Nabi Muhamad SAW. Ibunya Fatimah bin Asad bin Hasyim binti Abdul Manaf. (Bani Hasyim). Ayahnya Abu Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim. Beliau mempunyai 9 orang isteri dan 32 orang anak. 15 lelaki dan 17 perempuan.

Nama asalnya Haidarah Rasulullah SAW memanggilnya Ali. Selain itu pernah juga Rasulullah memanggilnya Abu Turab.

Ali bin Abu Talib dididik dan dibesarkan dalam rumah tangga Rasulullah SAW. Beliau kanak-kanak pertama memeluk Islam ketika berumur 9 tahun. Beliau terkenal sebagai orang yang alim dan bijaksana, hafal al Quran, seorang sasterawan dan ahli pidato. Seorang pahlawan perang dan negarawan. Dia seorang yang berilmu dan cintakan ilmu.

Rasulullah bersabda, “Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya.”
Baginda bersabda lagi, “orang yang paling dalam ilmu hukumnya di antara kalian adalah Ali.”

Salah satu jasa besar Khalifah Ali bin Abu Talib yang tidak dilupakan ialah orang yang pertama mengusulkan kalendar Islam dengan menjadikan tarikh hijrah Nabi Muhamad dari Meklah ke Madinah sebagai permulaan kelender umat Islam.Ali juga pelopor ilmu tauhid, ilmu Mantiq, Fiqih, ilmu nahu dengan penulisan bahasa Arab.

Terdapat empat golongan yang mempunyai kaitan dengan Ali iaitu Ahlus Sunnah, Syiah, Al Khawarij dan Bani Umaiyah.Syiah begitu menyanjung Ali bin Abu Talib. Al Khawarij pula mereka yang keluar dari kelompok Ali lalu memusuhinya. Bani Umaiyah pula memerangi Ali yang di ketuai Muawiyah.

Sehubungan itu Khalifah Ali bin Abu Talib pernah berkata. “ada segolongan orang yang demi cintanya kepada aku mereka bersedia masuk neraka. Tetapi ada segolongan lain yang demi kebenciannya kepada aku sampai mereka bersedia masuk neraka.”

Setelah Khalifah Ali bin Abu Talib meninggal dunia, Muawiyah bin Abu Sufian pernah bertanya kepada Dhirar bin Dhamrah mengenai sikap dan peribadi Ali. Kata Dhirar, “Demi Allah Ali itu seorang yang berpandangan jauh, kuat dan perkasa. Apa yang dikatakannya selalu diperkotakan. Apabila memerintah beliau selalu berlaku adil. Kata-kata dan tindakannya jelas menunjukan beliau berpengetahuan luas dan hampir semua ucapannya mengandungi hikmah.”

“Demi Allah, memang benar seperti apa yang kamu katakan itu,” kata Muawiyah.

Tubuh Saidina Ali agak pendek tetapi tegap dan sasa. Matanya hitam alisnya tebal, kulitnya coklat, dan janggutnya tebal. Dia sering tersenyum menampakkan barisan giginya bagaikan mutiara.

Kata al Mughirah, Ali kuat seperti singa. Kata Ibnu Abbas pula, aku belum pernah melihat orang yang mempunyai daya tarikan seperti Saidina Ali.

Ali bin Abu Talib Khalifah ar Rasyidin ke empat selepas Usman bin Affan. Beliau memerintah selama 4 tahun 9 bulan. Ketika itu umat Islam mula berpecah belah malah berperang sesama sendiri. Dalam perang Jamal atau Perang Unta pasukan tentera dipimpin Khalifah Ali bertempur dengan pasukan tentera yang dipimpin Aisyah. Kemudian berlaku pula Perang Shiffin antara tentera Khalifah Ali dengan tentera Muawiyah.

Peperangan itu ditamatkan dengan Majlis Tahkim yang membawa kepada pemecatan Ali sebagai khalifah. Mereka yang tidak bersetuju dengan majlis tahkim itu bertindak keluar dari pasukan Khalifah Ali lalu dinamakan kaum Khawarij. Mereka sangat memusuhi sehingga sanggup membunuhnya. Khalifah Ali ditetak keningnya dengan pedang yang disapu racun oleh Abdul Rahman bin Muljam pada waktu subuh 17 Ramadan dan meninggal dunia pada 21 Ramadan. Ketika itu beliau berumur 63 tahun. Beliau memerintah selama 4 tahun 9 bulan.

Ada yang mengatakan mayat Ali bin Abu Talib dikebumikan di kufah di satu tempat bernama Rahbah. Tetapi ada pula mengatakan mayatnya dibawa oleh Husein ke Madinah lalu dimakamkan di sebelah kubur Fatimah. Tetapi ada pula memgatakan jenazahnya dibawa ke Hijaz diletakkan dalam sebuah peti. Ketika dalam perjalanan sekumpulan Arab Badwi telah merompak mereka kerana menyangka dalam peti itu berisi harta. Bila dibuka mereka dapati satu mayat lalu dikuburkan di tengah padang Pasir.

Tetapi bagi pengikut Syiah mereka yakin jenazah Ali dikembumikan di Najaf, Iraq. Di atas kuburnya dibangunkan sebuah masjid yang indah kubahnya disalut emas. Masjid itu sering dikunjung pengikut Syiah.

Pada malam 17 Ramadan itu puak Khawarij merancang membunuh Khalifah Ali bin Abu Talib, Muawiyah bin Abu Sufian dan Amru Al Ash. Abdul Rahman bin Muljam berjaya membunuh Khalifah Ali bin Abu Talib. Al Barak bin Abdullah gagal membunuh Muawiyah bin Abu Sufian. Amir bin Bakr juga gagal membunuh Amru al As.

Novel ini setebal 328 halaman berharga RM26.00/RM29.00 (Sabah/Sarawak) akan terbit awal Mac 2009.


Thursday, February 19, 2009

Top 20 Buku Umum PTS di MPH Alamanda - Januari 2009


Di salin dari blog Puan Ainon http://universitipts.com. Novel Salahudin Penakluk Jerusalem terbit pada awal tahun 2007. Kini telah dicetak beberapa kali dan alhamdulillah kali pertama tersenarai tempat pertama jualan novel PTS di MPH Alamanda Januari 2009.

1. Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem

2. Obama: Antara Islam, Israel & Amerika
3. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (edisi jimat)
4. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (kulit lembut)
5. Warkah Cinta Berbau Syurga
6. Bukan Yang Pertama
7. Haji Muda: Tip-tip Menjadi Tetamu Allah
8. Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok
9. Motivasi Alihan Untuk Pelajar
10. Mulakan Kerja Dengan Doa
11. Tip-tip Cemerlang Daripada Quran
12. Sukses Dengan Doa
13. Tip Menjadi Individu Menarik
14. Dato' Dr Haron Din: Menjawab Persoalan Fikah Harian
15. Terapi Solat Tahajud
16. Aura Personaliti Warna
17. Doa Kesukaan Nabi Muhammad
18. Petua Seronok Bekerja
19. Makrifat Cinta
20. Mengharap Kasih Sayang Tuhan

ULASAN KHALID MEMBURU SYAHID DALAM BERITA HARIAN SINGAPURA



http://cyberita.asia1.com.sg/rencana/story/0,3617,136234-1234648740,00.html?


PERJUANGAN PANGLIMA KHALID
OlehRoslie Sidik

SEKIRANYA anda meminati cerita-cerita mengenai sejarah pahlawan Islam, novel Khalid Memburu Syahid terbitan PTS Fortuna, 2007 karya Abdul Latip Talib, akan pasti menjadi bahan buruan anda.

Novel sejarah Islam ini telah digarap dalam bentuk kreatif dan disusun dengan gaya bahasa yang mudah dan menarik.

Novel ini mengisahkan perjuangan Panglima Khalid yang disebut sebagai penyelamat dalam perang Muktah sehingga layak mendapat anugerah tertinggi panglima tentera dengan gelaran Pedang Allah.

Semangat kepahlawanan yang ditonjolkan oleh Panglima Khalid dan panglima tiga serangkai - Zaid Bin Harithah, Jaafar Bin Abu Talib dan Abdullah Rawahah - dapat dijadikan contoh yang baik kepada generasi muda.

Pembaca akan tersentuh dengan kisah kesetiaan mereka mempertahankan panji-panji Islam sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Nilai-nilai seperti keberanian, kesetiaan, kejujuran dan kecekalan dapat dijadikan iktibar.
Novel ini memaparkan keindahan Islam sebagai agama yang membawa kebenaran dan mencintai kedamaian.

Panglima Khalid, walaupun memimpin sebuah angkatan tentera yang terbilang pada zaman itu, sering berusaha untuk mengelakkan peperangan.

Panglima Khalid telah membenarkan pengikutnya, Adi Bin Hatim, memujuk kaumnya sendiri daripada suku Bani Tai dan kemudian dengan suku Bani Tamim dan Jadilah kembali kepada ajaran Islam.

Peperangan bukan sahaja telah berjaya dielakkan, malahan ketiga-tiga puak ini berjaya diberi petunjuk dan telah bertaubat.

Demi menegakkan kebenaran Islam, Khalid tidak pernah gentar terhadap musuh dan memburu syahid setiap kali terjun ke medan perang.

Novel ini menggambarkan bahawa Islam juga tidak pernah menganjurkan keganasan walaupun dalam medan pertempuran.

Dalam peristiwa penaklukan kota Makkah, Panglima Khalid berpesan kepada tenteranya supaya mengingati pesan Nabi Muhammad saw agar 'jangan menyerang mereka yang berlindung di dalam rumah Abu Sufian di dalam Masjidil Haram dan juga yang menutup pintu rumah masing-masing'.

Karya ini sangat besar manfaatnya dan berupaya membangkitkan minat khalayak ramai terhadap sejarah Islam.

Nota: Penulis ialah ketua jabatan sekolah dan penerima Hadiah Sastera Anugerah Persuratan 2007 (Esei).

Sunday, February 15, 2009

JEJAK MAT KILAU DI PULAU TAWAR

Nama Pulau Tawar tidak asing lagi kerana ada kaitan dengan Mat Kilau Pahlawan Melayu terbilang yang menentang Inggeris sekitar tahun 1891 hingga 1895.

Ketika menulis kisah Mat Kilau, tiba-tiba tergerak hati saya ingin menziarahi pusara pahlawan terbilang itu tetapi tidak ada panduan untuk ke sana.

Mujur terjumpa buku “Jejak Pahlawan Mat Kilau’ penyunting Dr Talib Samat. Buku ini memuatkan rencana mengenai Pahlawan Mat Kilau yang pernah tersiar dalam akbar dan majalah. Dalam buku tersebut Dr Talib menyatakan beliau pernah pergi ke Pulau Tawar. Lalu saya bertanyakan bagaimana untuk ke sana. Beliau menyuruh saya menghubungi Cikgu Nor, Cicit Mat Kilau.

Dengan izin Tuhan semalam 15hb saya ditemani Encik Ruslan (seorang pelukis) menjejakkan kaki ke Pulau Tawar. Langkah kami sungguh baik kerana kebetulan pula pihak RTM dan beberapa orang pelajar UKM turut berada di Pulau Tawar. RTM membuat dokumentari mengenai Pahlawan Mat Kilau, pelajar UKM pula membuat kajian mengenai senibina masjid Lama Pulau Tawar.

Kami dijamu makan tengah hari oleh ketua Kampung Pulau Tawar Encik Mat Ali. Sebelum balik kami dijamu bubur pisang. Menurut Encik Ali tradisi penduduk Kampung Pulau Tawar menjamu tetamu yang datang. Tradisi itu dilakukan sejak zaman Mat Kilau, kata Encik Mat Ali.

Encik Mat Ali kelihatan gembira apabila diberitahu oleh Cikgu Nor kisah Pahlawan Mat Kilau dijadikan novel. Ada cadangan supaya novel itu dibuat pelancarannya di Pulau Tawar. InyaAllah.





Masjid lama Pulau Tawar. Di sini Mat Kilau mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau pada tahun 1969 disaksikan oleh kira-kira 100 orang penduduk Pulau Tawar.


Encik Mat Ali Ketua Kampung Pulau Tawar yang baik budi. Kami dijamu makan tengah hari gulai ikan Patin, siput sungai, jangat kulit kerbau, sayur dan ulam kampung dan lain-lain. Begitu menyelerakan.


Tuan Haji Abu Bakar Imam Masjid Pulau Tawar. Beliau turut menjadi saksi semasa Mat Kilau membuat pengakuan dirinya di Masjid Lama Pulau Tawar pada tahun 1969. Menurutnya, beliau mendengar Mat Kilau mengatakan umurnya ketika itu 122 tahun.


Cikgu Ani, cicit Pahlawan Mat Kilau. Ayah beliau Cikgu Abu Bakar, bekas YB Pulau Tawar yang berjaya memujuk Mat Kilau mengistiharkan dirinya Mat Kilau pada tahun 1969


Bergambar di makam Pahlawan Mat KIlau.


Di sini tapak rumah tempat Mat Kilau dilahirkan. Terletak di tebing Sungai Pahang. Pohon-pohon kelapa yang mencuar itu berusia puluhan atau mungkin ratusan tahun.



Bergambar di pintu masuk Gua Gelangi.



tangga ke Gua Gelangi.



RTM sedang membuat pengambaran di makam Pahlawan Mat Kilau.



Sungai Pahang. Di sini pernah berlaku pertempuran antara pahlawan Melayu Pahang dengan Inggeris

Tuesday, February 10, 2009

TERBUANG TAPI TERBILANG


Pada 26 Disember 1969 bertempat di Masjid Pulau Tawar, Jerantut Pahang, seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Mat Siam atau Muhamad bin Ibrahim telah mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau, pahlawan Melayu yang berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang sekitar tahun 1891 hingga 1895.

Pelbagai andaian dibuat orang ramai ada yang percaya tetapi ada pula yang ragu-ragu. Tambahan pula Pemangku Residen Pahang D.H. Wise di dalam kenyataannya pada tahun 1895 menyatakan, di dalam bulan November 1895 maklumat telah diterima bahawa enam ketua penderhaka Bahaman (Bekas Orang kaya Semantan) Awang Nong, Yusof, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, dan Mat Lela telah ditangkap dengan perantaraan pemerintah Siam dan dibawa ke Siam. Kebenaran berita itu telah pun disahkan oleh utusan-utusan dari Pahang. Imam Rasu ( Tok Gajah) dan Mat Kilau dilaporkan telah mati.

W.Linehan M.A M.C.S pula di dalam tulisannya “A History of Pahang “ menulis “Di dalam bulan November 1895 enam daripada ketua-ketua penderhaka Bahaman dan Mat Kilau dilaporkan telah mati di Terengganu.”

Haji Muhamad bin Haji Abdullah cucu saudara Tok Gajah juga mendakwa Mat kilau sudah meninggal dunia.

Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Jawatankuasa Menyiasat munculnya Mat Kilau pada 8 Januari 1970 mereka terdiri daripada:

1. Y.B Dato’ Haji Abdul Aziz bin Ahmad- Pengerusi
2. Y.B Encik Ibrahim bin Arshad
3. Encik Abdul Razak bin Hitam
4, kapt Haji Mohd Ali bin Muhammad
5. Encik Zakaria bin Hitam
6. Encik As’ari bin Haji Yaacob - setiausaha

Setelah membuat siasatan yang terperinci akhirnya mereka membuat kenyataan, “Muhamad bin Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Mat siam itu dipercayai Mat Kilau bin Imam Rasu.”

Sebelum itu beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970
, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhamad, lahir pada tahun 1847/1848 tetapi ada pula yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1866. Sehubungan dengan itu saya yakin beliau lahir pada tahun 1847 berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Penyiasat Kemunculan Mat Kilau yang ditubuhkan kerajaan Negeri Pahang mengatakan ketika meninggal dunia pada 1970, usianya ketika itu dipercayai 122 tahun.

Sejarah pergolakan di Pahang bermula pada tahun 1857 setelah Bendahara Ali meninggal dunia maka anak-anaknya berperang kerana berebut kuasa. Akhirnya Bendahara Ahmad dapat mengalahkan abangnya Bendahara Mutahir. Tetapi anak-anak Bendahara Mutahir meneruskan perjuangan ayahnya merebut Pahang dari bapa saudaranya Bendahara Ahmad.

Pada tahun 1888 Bendahara Ahmad yang bergelar Sultan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura meminta campur tangan di Pahang. Inggeris telah melantik J.P Rodger jadi Residen di Negeri Pahang.

Ekoran campur tangan Inggeris itu menimbulkan pemberontakan di kalangan rakyat negeri Pahang diketuai oleh Orang Kaya Semantan Abdul Rahman yang bergelar “Datuk Bahaman”.

Pada tahun 1892 J.P Rodger dan Sultan Ahmad mengetuai beribu-ribu tentera Inggeris dan Pahang menyerang pasukan Datuk Bahaman di Semantan. Akibatnya Datuk Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur ke dalam hutan lalu meneruskan perjuangan secara gerila. Ekoran dari itu kerajaan Pahang mengeluarkan tawaran hadiah sebanyak seribu ringgit kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Datuk Bahaman hidup atau mati.

Kemudian Sultan Ahmad memerintahkan Imam Rasu atau Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau menentang Datuk Bahaman tetapi kedua beranak itu mengambil keputusan menyebelahi pasukan penentang.

Pada tahun 1892 Tok Gajah dan Mat Kilau menyerang tentera Inggeris di Sepanjang Sungai Pahang dan Kuala Lipis. Kemudian berlaku pula pertempuran besar-besaran di Raub. Pihak Inggeris mengalami banyak kerugian nyawa dan harta.

Tentera Inggeris yang dibantu askar-askar Pahang menyerang serta memusnahkan Kampung Budu yang menjadi tempat tinggal Mat Kilau apabila dia enggan menyerah kalah. Mat Kilau terpaksa melarikan diri ke Ulu Cheka lalu bergabung dengan pasukan Datuk Bahaman.

Atas desakan Inggeris Sultan Ahmad cuba memujuk Tok Gajah supaya kembali ke Pulau Tawar. Dia juga ditawarkan pergi ke Mekah mengerjakan ibadat haji. Kemudian Tok Gajah diperintahkan menangkap anaknya Mat Kilau yang bergabung dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris. Tetapi Tok Gajah mengambil keputusan bergabung semula dengan anaknya lalu terus menentang Inggeris di Tembeling. Kemudian berlaku lagi pertempuran di Kuala Atok.

Serangan demi serangan dilancarkan terhadap askar-askar Inggeris sehingga mendatangkan kerugian yang banyak. Akhirnya atas nasihat Inggeris Sultan Ahmad cuba mencari jalan perdamaian dengan mengistiharkan pengampunan kepada Datuk Bahaman dan Tok Gajah serta memujuk mereka kembali ke Pahang. Tetapi anihnya Mat Kilau tidak mendapat pengampunan dan terus diburu.

Datuk Bahaman dan Tok Gajah menolak tawaran itu lalu meneruskan penentangan mereka bersama Mat Kilau. Inggeris terpaksa menghantar beribu askar ke Pahang bergabung dengan pasukan Pahang memerangi Mat Kilau dan kawan-kawannya. Akhirnya mereka terpaksa melarikan diri ke Kelantan dan Terengganu.

Akhirnya Inggeris memujuk Siam menangkap Datuk Bahaman dan akhirnya menyerah kepada kerajaan Siam. Tok Gajah pula meninggal dunia di Terengganu. Tetapi Mat Kilau pula terus menghilangkan diri.

Dia terpaksa menyamar diri dengan memakai beberapa nama seperti Mat Dadu, Mat Dahan, Mat Din dan Muhamad bin Ibrahim atau Mat Siam.

Setelah berpuluh tahun menyembunyikan diri akhirnya salah seorang cucunya Cikgu Abu Bakar Hasan berjaya memujuk serta meyakinkan bahawa Negara kita sudah merdeka dan keselamatannya terjamin lalu bersetuju mengistiharkan dirinya adalah Mat Kilau, Pahlawan Melayu yang terbilang.

Monday, February 2, 2009

SURAT DARIPADA PEMBACA


Assalamualaikum

Saya pelajar tingkatan 3, saya amat mengagumi novel leftenan Adnan, saya mula kagum dengan kisah beliau ketika saya darjah enam lagi. Saya amat gembira bila dapat tahu yang encik ada menulis sebuah buku tentang leftenan Adnan. Pada bulan satu saya berjaya membeli buku itu di kedai MPH Sacc mall. Saya berasa amat gembira. Jika dahulu saya selalu menonton filem leftenan Adnan sehigga saya boleh menghafal skrip yang dicakap oleh Hairi Othman, kini saya sentiasa baca novel itu sebelum saya tidur. Saya nak ucapkan terima kasih kerana bersusah untuk menulis novel itu.

Saya ingin bertanya, adakah cerita yang encik tulis itu kisah benar dan merupakan fakta?

Nurfarah Faqihah

-------------------------------------------------------------------


Waalaikumsalam Nurfarah Faqihah

Terima kasih kerana sudi membeli dan membaca novel Leftenan Adnan. Semoga Nurfarah mendapat kejayaan cemerlang dalam PMR tahun ini. InsyaAllah.

Mengenai kisah Leftenan Adnan itu semenangnya kisah benar dari fakta sejarah. Wataknya juga memang benar-benar wujud.

Selepas ini menulis kisah Pahlawan Mat Kilau pula. InsyaAllah.

Terima kasih dan selamat membaca.