Monday, January 19, 2009

SALAHUDIN NASKHAH WAJIB BACA

Menurut Encik Amiza Khusyri bin Mohd Yusof seorang penulis lepasan Universiti al Azhar juga seorang pensyarah dalam kertas kerjanya yang berjudul Menyusuri Kepahlawanan Salahuddin Al Ayyubbi Dalam Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib, karya ini adalah sebuah naskhah wajib baca.

Menurut beliau, novel ini secara halus berjaya menerapkan kecintaan kepada perjuangan menegakkan kalimatullah, menyemarakkan roh jihad dalam diri setiap pembacanya. Secara jujur karya-karya sebegini wajar dimiliki oleh setiap individu muslim, terutamanya pemuda-pemudi Islam. Andai suatu hari nanti panggilan jihad fisabilillah mempertahankan agama itu menjadi wajib di saat karibnya Yaumussa’ah, maka segala yang tergambar di dalam novel ini, ditunjangai sirah agung Rasulullah SAW, akan mercup dalam hati sanubari kita.

Encik Amiza Khusyri memperkatakan novel sejarah Islam Salahudin Penakluk Jerusalem dalam majlis bicara karya sempena Mesyuarat Agung PEN ke 32 di Balai Ilmu Institut Perguruan Raja Melewar , Seremban.


Menurutnya lagi, karya ini digarap dalam bentuk kreatif dan memperlihatkan kelainan daripada karya-karya yang lain. Apabila membaca cerita Salahuddin dalam bentuk kreatif, ia akan memikat pembacaan hingga akhir bab. Berbeza apabila membaca karya sejarah non-kreatif yang memerlukan iltizam dan ketekunan yang konsisten.

Kepahlawanan Salahudin diperlihatkan melalui dialog-dialog dan babakan-babakan yang menarik. Naratif yang bermula dari kisah Salahudin sebagai seorang panglima, diikuti plot peperangan sehingga Salahudin bergelar panglima dan pemerintah. Perjalanan plot yang ditampilkan melalui dialog dan babakan benar-benar memperlihatkan keterujaannya yang tersendiri.

Apabila kita menyelak dari bab ke bab, kita akan membaca judul-judul bab yang menarik dan bait-bait kata hikmah dan hadis yang membangkitkan keterujaan meneruskan bacaan.



Sebelum itu Dr Ani Omar telah memperkatakan mengenai Agus Salim dalam Majlis Bicara Tokoh.

Mesyuarat Agung PEN ke 32 dan majlis Bicara Tokoh & Karya PEN ini telah dirasmikan oleh Dato' Dr Mohd Rosli bin Saludin, Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI.

Tuesday, January 13, 2009

BICARA KARYA & TOKOH PEN 2009

Sempena Ulang Tahun PEN ke-40 dan Mesyuarat Agung PEN ke 32, akan diadakan majlis Bicara Karya & Tokoh PEN 2009.

)i) Agus Salim oleh Dr. Ani Omar
ii) A.Latip Talib oleh Encik Amiza Khusyri Mohd. Yusof

Pada jam 8.30 pagi
18 Januari 2009 (Ahad)
di Balai Ilmu,
Institut Perguruan Raja Melewar,
Jalan Sikamat,
Seremban, Negeri Sembilan

Semua peminat dan pemerhati sastera dipersilakan hadir.

Friday, January 9, 2009

PEMINAT NOVEL SEJARAH ISLAM




Pada suatu hari Zino seorang Jurutera Kanan di Kuala Lumpur singgah di kedai buku terjumpa novel sejarah pahlawan Islam lalu membelinya beberapa judul.

Beliau tertarik dengan kisah-kisah pahlawan Islam itu lalu menceritakan kepada si manja anaknya yang masih kecil. Si manja itu lalu meminta bapanya membacakan novel itu setiap malam sebelum tidur. Zino membacanya satu malam satu bab.

Beliau menceritakan perkara itu dalam blognya.


http://payakumbuh1.blogspot.com/2009/01/abu-ubaidah-al-jarrah.html




Tuesday, January 6, 2009

MOHD GHAZALI TOCHEH PULANG KE RAHMATULLAH

Mohd Ghazali Tocheh antara penulis kelahiran Negeri Sembilan yang rajin menulis. Walaupun beliau pengarang OKU tetapi tidak menghalangnya untuk berkarya.

Berkat ketekunannya menulis beliau menerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan 2004 dan Anugerah kategori Tokoh Karya Kanak-Kanak / Remaja, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Melati, hari ini (Selasa 6hb)

Baru-baru ini beliau menefon saya menceritakan mengenai kegiatannya di bidang penulisan. Saya mencadangkan beliau menghantar karyanya kepada PTS. Khabarnya beliau sudah pun berjumpa dengan Editor PTS.

Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergiannya.

Al Fatihah.

Saturday, January 3, 2009

PALESTIN BERMANDIKAN DARAH



Semenjak dari dulu hingga sekarang Palestin tidak henti-henti bermandikan darah. Semasa Umar al Khattab menjadi khalifah, di sana pernah perjadi pertempuran antara tentera Islam dengan tentera Rom. Kemudian terjadi pula pertempuran antara tentera Islam di bawah pimpinan Salahudin al Ayubi dengan tentera Salib. Kemudian terjadi pertempuran antara tentera Arab dengan tentera Israil. Dan kini pertumpahan berlaku lagi antara pejuang Palestin dengan tentera Israil.

Setelah lapan hari tentera udara Israil menggempur bumi Gaza kini mereka mengerahkan pasukan tentera daratnya pula. Tetapi itu tidak akan dibiarkan oleh penduduk Gaza terutama pejuang Hamas yang telah bersumpah akan mempertahankan tanah air mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Rakyat Palestin terkepung kerana Mesir menutup gerbang Rafah dan Israil pula menutup gerbang Gaza. Makanan dan ubat-ubatan telah kehabisan. Rumah sakit Gaza tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

“Israil bebas menyerang Gaza,” begitu kata Amerika Syarikat yang memberikan senjata kepada Israil untuk membunuh rakyat Palestin.

Tentera udara Israil menggugurkan bom ke atas rumah, sekolah dan masjid. Sejak 27 Disember lalu tentera Israel melancarkan kira-kira 750 serangan ke atas Genting Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 435 orang dengan 2,285 yang lain cedera.



Pejuang Palestin masih tidak mengaku kalah dan setakat ini melancarkan kira-kira 500 serangan roket ke Israel sejak minggu lalu dan berjaya membunuh ramai penduduk dan tentera Israil walaupun mereka Cuma menyatakan hanya tiga orang awam dan seorang tentera Yahudi yang terbunuh dan berpuluh lagi cedera.

Seperti biasa berita yang dilaporkan oleh media barat Cuma menceritakan kemusnahan yang dialami oleh Palestin tetapi menutup kemusnahan yang dialami oleh Israil.

Semoga Allah memberi kemenangan kepada pejuang Palestin. Perkara itu tidak mustahil kerana pejuang Hizbullah telah membuktikan tentera Israil itu tidak sehebat manapun.