Saturday, September 27, 2008

Wednesday, September 24, 2008

SEMBAHYANG MALAM



Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Ramadan adalah bulan di mana Allah SWT mewajibkan berpuasa (pada waktu siang) dan aku sunnahkan kaum muslimin menegakkan (sembahyang malam). Barangsiapa berpuasa dengan iman dan mengharapkan keridaan Allah maka dosanya keluar seperti hari dia dilahirkan ibunya.”

“Dan pada pertengahan malam bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan, mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat darjatmu ke tempat yang terpuji.” (Al-Israk ayat 79)

”Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) yang mengalir mata air-mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik; Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; Dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan.” ( Az-zariyat ayat 15-18)


Rasulullah SAW bersabda : “Kerjakanlah sembahyang malam sebab ia merupakan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu pada zaman dahulu. Ia juga merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, sebagai penebus kejahatan-kejahatan kamu, pencegah dosa dan penyembuh penyakit pada badan.”

Nabi Muhamad SAW bersabda lagi, “Wahai sekalian manusia,ucapkanlah salam, jalinlah hubungan silaturrahim, dirikan sembahyang di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, pasti kamu masuk syurga dengan selamat dan sejahtera.”


Saturday, September 20, 2008

PENYELEWENGAN FAKTA SEJARAH

Pak Latip, apa pandangan pak Latip mengenai persoalan ini.

1. Benarkah Nabi Muhamad SAW bersafsu kepada wanita tua dan budak kecil?. Contohnya berkahwin dengan janda tua Khadijah berumur 45 tahun dan berkahwin dengan Aisyah berumur 9 tahun.


2. Benarkah Nabi Muhamad SAW menikahkah anaknya Fatimah dengan Ali bin Abu Talib maharnya Cuma bacaan Qulhuwallah 3 kali?. Begitu murahnya mahar puteri Rasulullah SAW?.


HAMBA ALLAH
--------------------------------------------------------
Saya bersyukur kerana dengan izin-Nya dapat menulis beberapa buah novel sejarah Islam. Sekiranya terdapat kesilapan fakta atau sebagainya dengan rendah hati saya memohon maaf dan berazam akan lebih berhati-hati dalam penulisan yang akan datang.

Setakat ini alhamdulillah, maklum balas daripada pembaca adalah baik dan ramai yang mengatakan berpuas hati serta memberi kata-kata pujian atas usaha ini. Insya-Allah saya akan terus menulisnya.

Mengenai pertanyaan di atas maka inilah jawapan saya.

Negara Arab (Islam) pernah dijajah oleh bangsa asing (bukan Islam). Ketika Mongol menakluk Baghdad banyak kitab yang dibakar dan dibuang ke dalam sungai sehingga airnya hitam. Antara kitab yang musnah itu termasuk buku-buku sejarah Islam yang ditulis oleh sejarawan Islam.

Kemudiannya sebelum negara Arab dijajah oleh bangsa Eropah, mereka pernah datang ke negera Arab mempelajari tamadun Islam. Mereka menyalin kitab-kitab itu ke dalam bahasa mereka. Kemudian dibawa pulang ke Negara mereka. Malah buku-buku sejarah Melayu juga banyak yang dibawa pulang ke Negara mereka (penjajah).

Setelah mereka menjajah Negara Arab termasuk juga Negara kita, mereka menulis semula sejarah Negara-negara yang mereka jajah. Sekiranya ada pun anak tempatan yang menulisnya terpaksa mengikut kehendak penjajah. Munsyi Abdullah contohnya menulis atas arahan Stamford Refles.

Kerana itu dalam proses penulisan sejarah itu tidak mustahil ada fakta yang diselewengkan. Mereka yang menentang penjajah dituduh pengganas atau penderhaka. Tidak mustahil juga dalam penulisan sejarah Islam terdapat penyelewengan fakta sejarah.

Mengenai pernikahan Nabi Muhamad SAW dengan Khadijah dan Aisyah, dikatakan ketika itu Muhamad berumur 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun atau 45 tahun. Aisyah pula berumur 9 tahun tetapi ada pula mengatakan Aisyah ketika itu berumur 19 tahun.

Sumber rujukan kita yang paling tepat ialah al Quran dan hadis. Selain itu kitab-kitab yang muktabar atau diakui kesahihannya. Tetapi tidak terdapat dalam al Quran atau hadis yang menjelaskan umur Khadijah dan Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW.

Walaupun saya telah menulis beberapa buah novel sejarah Islam tetapi saya merasakan pengetahuan mengenai sejarah Islam masih cetek. Kerana itu setiap kali menulis sesebuah buku saya terpaksa membaca dan membaca lagi buku-buku sejarah Islam.

Mengenai berapa umur Khadijah dan Aisyah itu boleh kita rujuk dalam kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam Ghazali dalam bab Nikah. Selain itu terdapat juga dalam kitab Fiqus Sirah oleh Muhamad al Ghazali.

Ada yang mengatakan Khadijah seorang janda yang telah dua kali diceraikan suaminya. Sekiranya Khadijah pernah berkahwin dua kali tentu ada anak dengan suami sebelumnya. Tetapi setahu saya, maaf kalau tersilap, Khadijah Cuma mempunyai anak setelah berkahwin dengan Nabi Muhamad SAW. Kerana itu ada ahli sejarah Islam yang membuat kajian umur Khadijah ketika itu 25 tahun bukan 40 tahun.

Ada juga logiknya kerana bagi masyarakat Arab termasuk masyarakat Melayu zaman dulu, usia 40 tahun bagi seorang wanita itu dianggap sudah terlalu tua untuk berkahwin. Di kalangan orang Melayu sendiri iaitu zaman nenek moyang kita dulu ada diantara mereka berkahwin ketika berumur 12 tahun.

Sebelum Khadijah dilamar oleh Nabi Muhamad SAW, dia pernah di lamar oleh Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa orang lagi pembesar Quraisy tetapi ditolak oleh Khadijah. Dengan arti kata lain ketika itu Khadijah menjadi rebutan ramai lelaki. Kalau dia seorang janda tua pasti tidak ramai yang melamarnya untuk dijadikan isteri.

Selama 25 tahun berkahwin dengan Muhamad, Khadijah melahirkan enam orang anak iaitu Al Qasim, Zainab, Ruqayyah, Ummi Kalsum, Fatimah dan Abdullah. Kedua anak lelaki itu meninggal dunia ketika masih kecil. Cuma Fatimah saja meninggal dunia setelah wafat Rasulullah saw.

Sekiranya umur Khadijah 40 tahun ketika mula berkahwin dengan Rasulullah SAW pasti dia wanita yang sudah kurang subur. Mana mungkin wanita yang berkahwin ketika umur 40 tahun mampu melahirkan sampai 6 orang anak.

Mengenai umur Aisyah, saya telah menulisnya dalam entri yang terdahulu. Hamba Allah boleh membacanya semula.

Mengenai Mahar perkahwinan Khadijah dan Fatimah. Ramai yang mengatakan Khadijah yang melamar Muhamad. Seolah perigi mencari timba. Aisyah pula dikatakan maharnya Cuma 3 kali bacaan Qulhuwallah.

Dalam kitab Fiqus Sirah ada menjelaskan bahawa Abu Talib dan Hamzah yang mewakili Muhamad datang ke rumah Amer bin Asad iaitu bapa saudara Khadijah untuk meminang Khadijah dengan maharnya 20 ekor unta. Ketika itu bapa Khadijah telah meninggal dunia. Keduanya dikahwinkan oleh Amer bin Asad.Dengan ini Muhamad yang meminang Khadijah dengan maharnya 20 ekor unta muda. Bukan Khadijah yang meminang Muhamad.

Mengenai Mahar Fatimah, Saidina Ali bin Abu Talib menjual baju besinya kepada Uthman bin Affan dengan harga 480 miskal perak. Kemudian Ali menyerahkan 400 miskal perak itu kepada Nabi Muhamad SAW sebagai mahar perkahwinannya dengan Fatimah.

Semoga jawapan ini memuaskan hati Hamba Allah.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.




Wednesday, September 17, 2008

ABU UBAIDAH AL JARRAH

Gambar hiasan diambil dari internet.


Abu Ubaidah al Jarrah antara 10 sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk Syurga. Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Beliau terkenal dengan nama Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau memeluk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq dan amat disayangi Rasulullah saw sehingga digelar pemegang amanah. Baginda bersabda yang maksudnya, “Tiap-tiap umat ada pemegang amanah, pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Abu Ubaidah al Jarrah antara sahabat Rasulullah saw yang banyak menanggung penderitaan akibat penganiayaan orang-orang Quraisy termasuk ayahnya sendiri Abdullah. Dalam perang Badar Abdullah memburu anaknya dengan niat hendak membunuhnya. Akhirnya berlaku pertarungan antara ayah dengan anak yang berkesudahan Abdullah terbunuh. Abu Ubaidah al Jarrah berasa amat sedih sehingga turun ayat al Quran yang membenarkan tindakannya demi untuk mempertahankan aqidah Islam.

Setelah Rasulullah saw wafat Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan menjadi khalifah tetapi beliau menolaknya lalu menyokong perlantikan Abu Bakar as Siddiq. Beliau dilantik menjadi penjaga Baitulmal atau perbendaharaan. Kemudian Abu Ubaidah al Jarrah memohon untuk menyertai pasukan tentera Islam ke medan perang.

Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan untuk memimpin pasukan tentera Islam ke Yarmuk tetapi akhirnya Khalifah Abu Bakar as Siddiq memilih Khalid al Walid. Sehubungan dengan itu Khalid al Walid berkata, “Wahai Abu Ubaidah al Jarrah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini, tetapi saya patuh dengan arahan khalifah.”

Ketika berlakunya Perang Yarmuk, Khalifah Abu Bakar as Siddiq meninggal dunia lalu digantikan dengan Umar al Khattab. Beliau telah melucutkan jawatan Khalid al Walid dengan melantik Abu Ubaidah al Jarrah menjadi ketua. Khalid al Walid menerima keputusan itu dengan rela hati. Begitu juga dengan Abu Ubaidah al Jarrah yang menerima jawatan itu. Keduanya terus berkerjasama sehingga tentera Islam mencapai kemenangan.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah terus diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam menakluk Parsi. Setelah berlaku pertempuran demi pertempuran akhirnya kerajaan Parsi dapat ditumbangkan.

Kemudian beliau menghadapi tentera Rom sehingga berjaya menakluk Baitul Muqaddis.

Ketika berada di Syam berlaku serangan wabak taun menyebabkan ramai yang menjadi mangsa termasuk Abu Ubaidah al Jarrah.

Sebelum itu Khalifah Umar al Khattab memerintahkan Abu Ubaidah al Jarrah meninggalkan Syam tetapi beliau enggan kerana tidak sanggup meninggalkan tenteranya dan penduduk Syam yang sedang menghadapi wabak taun.

Beliau meninggal dunia pada tahun 640 masihi lalu dikebumikan di Syam (Jordan). Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

Kisah Abu Ubaidah al Jarrah ini telah dijadikan novel dan akan diterbitkan oleh PTS Fortuna tidak lama lagi.



Sunday, September 14, 2008

GELARAN ABU BAKAR


Salam romadon buat pak latip.

Semoga selalu dalam lindungan rohmat dan kaseh sayang-NYA.

Saya ada satu kemusykilan berkenaan buku 'ABU BAKAR SAHABAT SEJATI', sy ingin tahu, dr sumber mana ya pak latip jumpa yg menyatakan bahwa Abu Bakr mendapat gelaran 'abu bakr' yg bermaksud ayah unta muda krn pada masa mudanya suka memelihara anak2 unta? sbb stahu sy, beliau mendapat gelaran 'abu bakr' yg bermaksud bapa anak dara kerna beliau mempunyai 2 anak dara iaitu 'aisyah dan asma'. sekadar nak merungkai kemusykilan.

terima kaseh

pondokbuku

--------------------------------------------


Terima kasih kepada Pondokbuku kerana bertanyakan soalan tersebut.

Nama sebenar Abu Bakar ialah Abdul Kaabah. Selain Abu Bakar dia juga digelar al Atiq dan As Siddiq. Kesemua gelaran tersebut mempunyai lebih dari satu versi.

Dalam buku Abu Bakar as Siddiq oleh Hj Abdul Rani Mustafa terbitan K Publishing dan Kisah Abu Bakar as Siddiq oleh Muhamad Ridha terbitan Jasmin Enterpres dan 10 Sahabat di Jamin Syurga oleh Muhamad Ali al Quthub ada diceritakan dengan jelas tentang gelaran Abu Bakar tersebut.

Dalam buku 10 sahabat dijamin syurga pada muka surat 11 ada dinyatakan bahawa ibu Abu Bakar iaitu Salma memberi nama gelaran Abu Bakar kerana dia satu-satunya putera yang hidup dari putera-puteranya yang terdahulu. Maknanya dari kecil lagi dia sudah diberi nama Abu Bakar oleh ibunya.

Semasa remaja dia suka memelihara anak-anak unta lalu di gelar juga Abu Bakr.
Setelah memeluk Islam dia panggil Abu Bakar kerana mempunyai dua orang anak dara.

Jadi gelaran Abu Bakar itu mempunyai beberapa versi dan saya rasakan semuanya benar. Begitu juga dengan gelaran al Atiq dan As Siddiq mempunyai dua versi juga.

Ramai yang menyangka gelaran as Siddiq hanya diterima oleh Abu Bakar daripada Rasulullah saw selepas peristiwa Israk dan Mikrak.

Sebenarnya gelaran As Siddiq itu juga pernah diberikan kepada Abu Bakar oleh orang-orang Quraisy semasa jahiliyah. Ini kerana Abu Bakar diberi tanggung jawab menguruskan bayaran diet iaitu satu hukuman berbentuk ganti rugi harta yang dikenakan terhadap pembunuh. Kerana Abu Bakar seorang yang jujur maka masyarakat Quraisy jahiliyah menggelarnya Abu Bakar As Siddiq.

Kerana itu jangan terperanjat kalau ada yang mengatakan gelaran Abu Bakar As Siddiq itu pernah diterimanya sebelum Islam.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Terima kasih.



Friday, September 12, 2008

SURAT DARI PEMBACA

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kepada Pak Latip,

Tahniah atas kelahiran buku Leftenan Adnan yang boleh dikatakan sesuai pada masanya sempena bulan kemerdekaan. Namun bagi saya yang tinggal di Taiping, stok buku tersebut begitu lambat sekali berada di pasaran. Sebelum ini saya seringkali hampa setiap kali berulang alik ke kedai POPULAR Taiping kerana stok buku Leftenan Adnan yang dicari masih tak kunjung tiba. Alhamdulillah akhirnya semalam dapat juga saya memiliki buku tersebut.

Apa projek Pak Latip selepas ini? Tokoh mana pula yang ingin dikisahkan menjadi novel?

Sekadar ingin mencadangkan kepada Pak Latip untuk menulis novel tentang tokoh dari Taiping yang tidak kurang pentingnya kepada nilai sejarah tanahair kita iaitu LONG JAAFAR (org pertama menemui bijih timah di Tanah Melayu) dan anakandanya NGAH IBRAHIM (saudagar bijih dan pejuang penjajah inggeris). Dari segi infomasi dan waris-waris mereka masih boleh ditemui dengan mudah sekitar Taiping ini.

Sekadar memberi pandangan dan pendapat.

Sekian wassalam.

Fakharoll Rodziee Don @ aurakaya


---------------------------------------------------------------

Waalaikumsalam wbt dan salam Ramadan juga buat Aurakaya.

Terima kasih kerana Aurakaya telah membeli serta membaca novel Leftenan Adnan Wira Bangsa. Saya tidak lupa kerjasama tuan sehingga dapat menjejaki waris Leftenan Adnan. Saya ingin juga mengirimkan novel itu kepada tuan tetapi tidak tahu alamatnya.

Mengenai cadangan tuan supaya menulis kisah Long Jaafar dan Ngah Ibrahim, kalau tidak silap saya telah ditulis oleh Talib Samad.

Cadangan saya selepas ini hendak menulis kisah tokoh pahlawan yang masih hidup iaitu Kanang anak Langkau. Tentu banyak kisah menarik tentang dirinya yang boleh ditulis. Saya kena bertemu dan berbincag dulu dengan dia.

Harap usaha ini berjaya.

InsyaAllah.


PERTANYAAN PEMBACA

Assalamualaikum Pak Latip.

Saya ingin bertanya kenapa Pak Latip menulis Novel Sejarah?. Kenapa tidak menulis novel lain selain novel sejarah?.

Serikandi.

Jawapan saya.

Waalaikumsalam. Terima kasih Serikandi kerana sudi mengemukakan pertanyaan itu. Jika membaca blog ini dan blog satu lagi
http://latiptalib.blogspot.com akan didapati selain novel sejarah ada juga novel bukan sejarah. Antaranya novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ada di antara novel tersebut yang pernah memenangi sayembara dan hadiah sastera.

Penulisan saya bermula dengan sajak kemudian diikuti dengan cerpen. Selepas itu barulah menulis novel. Novel pertama sebuah novel kanak-kanak berjudul “Bebaskan Aku” diterbitkan oleh Utusan pada tahun 1991. Selain Utusan ada juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Alaf21.

Pada tahun 2005 saya dipertemukan dengan penerbit PTS. Barulah mendapat peluang menulis novel sejarah. Pada tahun 2007 sebanyak 6 buah novel sejarah diterbitkan. Dan pada tahun 2008 ini sebanyak 6 buah lagi akan diterbitkan oleh PTS. Semuanya novel sejarah. InsyaAllah saya akan terus menulis novel sejarah untuk PTS.

Dengan menulis novel sejarah saya dapat merakamkan kisah, peristiwa serta fakta-fakta sejarah dalam bentuk novel. Tambahan pula bidang ini belum ramai yang menulisnya.

Selain itu menulis novel sejarah Islam dapat berdakwah kerana di dalamnya terdapat kisah sejarah, dapat pula menyampaikan hadis dan ayat suci al Quran walaupun sedikit.

Selain sebagai sumber pendapatan semoga menjadi amal jariah.

Tuesday, September 9, 2008

DIULANG CETAK



Hikayat Amir Hamzah jilid 1 ini telah diulang cetak.

Seorang pembaca menghantar emel mengatakan setelah membaca buku ini dia hendak membaca pula sambungannya Amir Hamzah jilid 2.

Seorang pengunjung blog ini pula menghantar emel bertanya bagaimana hendak mendapatkan buku Hikayat Amir Hamzah.

Anda boleh membelinya di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan beberapa buah kedai buku lagi. Atau boleh terus membuat pesanan kepada PTS beralamat No. 3, Jalan Industri Batu Caves 1/6, Taman Perindustrian Batu Caves, Selangor. No telefon 03 61880316 atau pesan melalui internet, www.bookcafe,com.my atau www.ujanailmu.com.my





Monday, September 8, 2008

SUDAH TERBIT





Abdul Latip bin Talib

PTS Fortuna

harga RM 24.00

RM 27.00 (Sabah & Sarawak),

Tarikh Terbit: 5 September 2008

Jumlah Muka Surat : 336 halaman





“Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”- Ahli Sejarah Byzantine.

Sultan Muhamad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481.

Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Baginda menjadikan Adrianopel (Adana) pusat pemerintahan dan ibu kotanya bagi memudahkan cita-citanya menawan Konstantinopel. Dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah.


Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul (Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel akan ditawan oleh orang Islam.

Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari RA gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel.

Sultan Muhammad al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad (ayah kepada Muhammad al-Fateh):

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian.
Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia.

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.























Adik Sharifuddin antara 518,616 calon yang menduduki UPSR pada hari ini sempat meluangkan masa membaca novel sejarah Islam Abu Bakar Sahabat Sejati. Dalam peperiksaan percubaan beliau mendapat keputusan 5A.

Bercita-cita menjadi seorang doktor. Semoga cita-citanya berjaya. Amin.

Sunday, September 7, 2008

PERTANYAAN PEMBACA

Salam Ramadan Pak Latip

Ada mengatakan tentera Jepun menggantung Leftenan Adnan di pokok kemudian bergilir-gilir menikamnya dengan bayonet itu Cuma propaganda British untuk menakutkan penduduk Tanah Melayu bahawa askar Jepun itu kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Apa komen Pak Latip?


Adik Amirul bin Shahferi 7 tahun yang pernah muncul dalam siri Tom Tom Bak dapat hadiah novel Leftenan Adnan Wira bangsa. Dia gembira dan terus membacanya.

Wednesday, September 3, 2008

FIGURINE LEFTENAN ADNAN DI MPH

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke-51, PTS dengan bangganya menerbitkan buku Leftenan Adnan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri rakyat Malaysia. Leftenan Adnan dan rakan-rakannya dalam Askar Melayu adalah wira yang tidak mungkin dilupakan dek zaman kerana pengorbanan dan keberanian yang dicurahkan. Dapatkan novel ini di pasaran.


Novel ini telah berada di pasaran. Jualannya amat laris. Syukur.


Figurine Leftenan Adnan di MPH MIDVALLEY

Figurine Leftenan Adnan di MPH ALPHA ANGLE



Figurine Leftenan Adnan di MPH ALAMANDA PUTRAJAYA



Figurine Leftenan Adnan di MPH ONE UTAMA
Figurine Leftenan Adnan di MPH SHAH ALAM


Monday, September 1, 2008

BULAN TERBELAH DUA
















Mukjizat adalah kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Ilmu pengetahuan manusia tidak mampu menghuraikan bagaimana mukjizat itu berlaku kerana ia kuasa Allah SWT.

Bulan terbelah dua kemudian turun lalu masuk ke dalam jubah Rasulullah saw kemudian keluar dari lengan baju kiri dan kanan baginda sebelum bercantum semula benar-benar berlaku dan disaksikan oleh orang ramai termasuk Raja Habib dari Syam. Setelah melihat kejadian yang luar biasa itu ramai yang mendapat hidayah termasuk Raja Habib. Tetapi lebih ramai yang tidak percaya lalu mengatakan itu sihir Muhamad. Kisah ini ada diceritakan dalam novel Abu Bakar Sahabat Sejati bab 3 muka surat 32.

Peristiwa bulan terbelah itu disebutkan dalam al Quran.

“Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata “Ini adalah sihir yang luar biasa” dan mereka mendustakannya dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya.” (Surah al Qamar ayat 1-3)

Mengenai kisah bulan terbelah ada diceritakan dalam buku Mukjizat-Mukjizat Rasulullah, Kisah Menakjubkan Dalam Kehidupan Rasulullah, 33 Kisah Menarik Para Nabi-Nabi, kitab Nur Yaqin (jawi), Hikayat Nabi Bercukur dan Bulan Terbelah (jawi). Malah dalam Qisasul Anbiyak (jawi) ada diceritakan kisah Raja Syam yang telah beriman. Apakah itu Raja Habib?.

Siapakah Raja Habib bin Malik?. Apakah itu nama sebenar atau gelarannya?. Ini kerana orang-orang Arab juga menggelarnya Raihanah Quraisyin. Dalam kisah para nabi-nabi (Qisasul Anbiyak) ada disebutkan seorang raja Syam yang telah beriman menulis surat wasiat supaya anaknya mempercayai Muhamad itu seorang Rasul.

Ketika berlakunya peristiwa bulan terbelah, Raja Habib berada ke Mekah. Selepas menyaksikan peristiwa itu Raja Habib mendapat hidayah. Setelah kembali ke Syam beliau mengirimkan hadiah berupa emas, perak dan permata yang dibawa oleh lima ekor unta sebagai hadiah kepada Rasulullah saw. Baginda menerima pemberian itu tetapi kemudiannya baginda berdoa supaya semua harta itu dilenyapkan menjadi pasir.

Peristiwa itu berlaku ketika Rasulullah saw baru diangkat menjadi Rasul. Belum wujud Negara Islam dan al Quran belum selesai diturunkan. Seruan baginda ketika itu Cuma mengajak manusia menyembah Allah dan jangan menyembah selainNya.

Negeri Syam atau Syria terletak di semenenjung Tanah Arab. Orang-orang Quraisy Mekah selalu berulang alik antara Syam dengan Mekah untuk berniaga. Ketika Nabi Muhamad berusia sembilan tahun pernah pergi ke Syam bersama bapa saudaranya untuk berniaga. Kemudian ketika berumur 25 tahun sekali lagi Nabi Muhamad pergi ke Syam membawa barang-barang dagangan Khadijah.

Setelah Muhamad menjadi Rasul dan setelah Islam tersebar di Madinah barulah Rom dan Parsi memusuhi Islam. Rom telah menguasai Syam. Setelah Raja Habib menjadi pengikut Muhamad, dia juga senasib dengan Raja Habsyah yang memberi perlindungan kepada orang-orang Islam yang berhijrah ke negaranya. Setelah Raja Habsyah itu memeluk Islam dia dibunuh oleh pembesarnya. Apabila mendengar berita itu Nabi Muhamad saw menyembahyangkan jenazah Raja Habsyah itu secara sembahyang ghaib.

Peristiwa yang sama hampir berlaku kepada Maharaja Rom. Pada mulanya dia hendak menerima tawaran memeluk Islam tetapi dibantah oleh para pembesarnya menyebabkan dia membatalkan niatnya itu. Raja Habib, walaupun telah memeluk Islam tetapi tidak dapat mempengaruhi rakyat dan para pembesarnya supaya memeluk Islam.

Negeri Syam atau Syria kekal berada dalam jajahan Rom sehingga pemerintahan Saidina Umar al Khattab baru dapat ditakluki.























Peristiwa bulan terbelah ini memang benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang mempertikaikannya kerana bertentangan dengan ilmu sains namun muzjizat Rasulullah tidak dapat dibuktikan dengan kaedah saintifik. Seperti juga mukjizat Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati juga bertentangan dengan ilmu pengetahuan manusia.

Peristiwa bulan terbelah bukan saja disaksikan oleh penduduk Mekah tetapi juga dilihat oleh penduduk di seluruh semenanjung Tanah Arab. Apabila mereka datang ke Mekah menceritakan pernah melihat bulan terbelah kemudian bercantum semula.

Sekiranya ada yang mempertikaikannya, tidaklah menghairankan kerana Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikannya walau mereka melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.


















Bagaimana pula dengan gambar yang diambil oleh NASA ini?. Terdapat satu garisan di tengah permukaan bulan. Itu membuktikan bahawa bulan pernah terbelah suatu ketika dahulu kemudian dicantumkan semula.

PERTANYAAN PEMBACA


Tuan Penulis

Setelah membaca novel Abu Bakar Sahabat Sejati, saya tertarik dengan kisah Raja Habib dari Syam yang memeluk Islam setelah melihat mukjizat Nabi Muhamad SAW dalam peristiwa “Bulan Terbelah Dua.”

Saya percaya penulis mempunyai sumber rujukan mengenai kisah tersebut. Justeru itu saya ingin bertanya.

1. Apakah bantuan lain atau kerjasama Raja Habib kepada Nabi Muhamad setelah memeluk Islam?

2. Apakah beliau dapat menggunakan pengaruhnya kepada penduduk Syam untuk turut memeluk Islam?

3. Bukankah ketika Syam di bawah jajahan Rom?. Apakah Syam tidak diancam oleh Rom setelah Raja Habib memeluk Islam?.

Mohon penjelasan.

Tunku Ibrahim
Kuala Pilah
Negeri Sembilan.

------------------------ ---------------------------------------

Yang Mulia Tunku Ibrahin adalah peminat Novel Sejarah Islam. Walaupun kami tinggal dalam satu negeri iaitu Negeri Sembilan tetapi belum pernah bertemu atau bersua muka. Setelah membaca novel-novel Sejarah Islam beliau menghubungi PTS meminta alamat serta nombor telefon saya untuk dihubungi. Setelah perkara itu dimaklumkan kepada saya oleh Cik Norasyikin (Editor Pengurusan PTS Fortuna) maka saya menghubungi Tunku Ibrahim melalui telefon. Sejak itu kami sering bertanya khabar tetapi sehingga kini masih belum pernah bertemu. Beliau telah beberapa kali mempelawa saya berkunjung ke rumahnya tetapi masih belum ada kesempatan. Ini antara pertanyaan dari Yang Mulia Tunku Ibrahim setelah membaca Novel Abu Bakar Sahabat Sejati.

InsyaAllah, saya akan menjawabnya melalui blog ini supaya dapat dikongsi bersama dengan pembaca yang lain.

Terima kasih.