Wednesday, July 23, 2008

LEFTENAN ADNAN DIBERI ANUGERAH?

Saya dihubungi oleh seseorang dari Kuala Lumpur yang ingin menghubungi waris Leftenan Adnan yang entrinya pernah disiarkan dalam blog ini.

Khabarnya sempena 31 Ogos ini Allahyarham Leftenan Adnan akan dikurniakan anugerah. Sekiranya benar itu merupakan perkara yang baik kerana memang sepatutnya beliau dikurniakan anugerah. Jika Allahyarham P.Ramlie contohnya, dikurniakan pingat Tan Sri dan pelbagai darjah kebesaran maka sewajarnya Leftenan Adnan juga patut menerimanya.

Walaupun beliau telah tiada tetapi warisnya masih ada. Sebarang anugerah yang dikurniakan kepada Allahyarham Leftenan Adnan bukan sahaja akan membanggakan warisnya malah membanggakan juga seluruh rakyat Malaysia khususnya Regimen Askar Melayu.

Kisah keperwiraan Leftenan Adnan dan Askar Melayu menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia kedua dahulu ditulis dalam bentuk novel dan dijangka terbit sempena bulan kemerdekaan nanti. InsyaAllah.




Entri ini juga boleh dibaca dalam blog.


Tuesday, July 22, 2008

PERTEMUAN

Saya mengenali Lelahiro Okinawa atau nama sebenarnya Halela A. Razak sejak empat tahun yang lalu tetapi tidak pernah bertemu. Ketika itu kami sama-sama menjadi ahli esastera.com, Lelahiro admin ruangan Haiku dan saya admin ruangan cerpenis. Walaupun berjauhan kerana beliau menetap di Pualau Okinawa Jepun tetapi kami sering juga bertegur sapa di alam siber.

Darma Mohammad pula memang tak asing lagi namanya sebagai penyair tanah air yang terkenal. Kami juga belum pernah bertemu walaupun saya sering membaca puisi-puisinya yang tersiar dalam akhbar dan Dewan Sastera.

Baru-baru ini berlangsung pertemuan yang tidak disangka antara kami bertiga di Kuala Lumpur, kebetulan hari itu saya berada di Kuala Lumpur lalu membawa kami ke Kampung Kancung di Rantau Negeri Sembilan.

Di rumah Kak Mon di kampong Kancong kami dijamu dengan durian, rambutan dan pulut santan durian. Kami bertiga begitu berselera menikmatinya. Terima kasih kak Mon.

Terima kasih Halela yang membawa buah tangan dari pulau Okinawa untuk saya dan Darma Mohammad semoga kita berjumpa lagi.



Ole-oleh dari Lelahiro. Sebuah antologi Haiku dalam Bahasa Melayu. Dan herba dari Pulau Okinawa.
Kami dijamu dengan pulut santan durian, rambutan dan buah durian di rumah Kak Mon di Kampung Kancong.

Bergambar di rumah Kak Mon yang dikelilingi pokok buah-buahan.

Saturday, July 19, 2008

ABU BAKAR SAHABAT SEJATI


Penerbit PTS Fortuna
Harga RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-10-8; 9789675136108
Tarikh Terbit: 22 July 2008
Jumlah Muka Surat : 336 halaman

Judul asalnya Abu Bakar Wira Islam tetapi saya akur dengan perubahannya menjadi Abu Bakar Sahabat Sejati kerana lebih menarik. Tambahan pula novel sejarah Islam juga dibaca oleh mereka yang bukan Islam.

Kerana novel ini menceritakan kisah Saidina Abu Bakar as Siddiq, sahabat Nabi Muhamad saw yang begitu tinggi darjatnya, dijamin masuk syurga dan imannya begitu teguh maka penulisannya agak sukar sehingga gambar kulitnya pun wajahnya tidak kelihatan. Ini disebabkan ada pendapat yang mengatakan gambar wajah Saidina Abu Bakar as Siddiq tidak boleh dilukis.

Seperti novel-novel sejarah Islam sebelum ini, saya banyak menerima pertanyaan daripada pembaca malah ramai juga yang memberi komen. Namun saya tidak bimbang dan bersedia menerima apa sahaja komen daripada pembaca kerana tujuan saya menulis kisah Saidina Abu Bakar as Siddiq ini supaya kisah suka duka, pengorbanan serta perjuangannya dapat dihayati oleh pembaca dalam bentuk novel.

Semoga novel ini juga mendapat sambutan daripada pembaca seperti novel sejarah Islam sebelumnya.

InsyaAllah.

Entri berkaitan boleh juga dibaca diblog ini

Wednesday, July 16, 2008

BERTEMU CUCU LEFTENAN ADNAN


Perjuangan Leftenan Adnan dan Askar Melayu yang mempertahankan tanah air dari serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia kedua dahulu akan dijadikan novel. Diterbitkan oleh PTS Fortuna bulan Ogos nanti. Insya-Allah.

Wan Sofia Zainudin, anak Allahyarham Zainudin, cucu Leftenan Adnan. Ibunya Raja Puteh Zainab masih hidup tetapi ayahnya telah meninggal dunia.

Wan Suhaimi Zainudin, abang Wan Sofia yakin mayat Leftenan Adnan tidak dikebumikan di Bukit Candu tetapi dibawa ke satu tempat oleh tentera Jepun sebagai tanda penghormatan kepada seorang pahlawan.


Melalui blog ini, akhirnya saya dapat menjejaki waris Leftenan Adnan, pahlawan Melayu yang gugur semasa mempertahankan tanah air dalam perang dunia kedua.
Novel yang mengisahkan penaklukan tentera Jepun di Tanah Melayu dan kisah keperwiraan Leftenan Adnan dan kawan-kawannya yang berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir di Bukit Candu akan terbit tidak lama lagi. InsyaAllah.

Entri yang berkaitan boleh juga dibaca di blog




Tuesday, July 15, 2008

MENJEJAKI WARIS LEFTENAN ADNAN


Semasa mengumpul maklumat untuk menulis novel Leftenan Adnan saya berusaha menjejaki warisnya di Kampung Sungai Ramal, Kajang tempat kelahiran pahlawan itu tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak menetap lagi di tempat tersebut. Ada yang mengatakan mereka berada di Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Saya hampir mati akal hendak menjejaki mereka kerana tidak sesiapa yang tahu alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.

Usaha menjejaki waris Leftenan Adnan saya siarkan dalam blog ini dengan harapan ada pembaca yang boleh membantu. Puan Ainon juga membantu dengan menyiarkan entri yang sama dalam blognya. Begitu juga dengan Abang Long turut membantu dengan menyiarkan entri dalam blognya.

Usaha itu mula menampakkan hasil apabila seorang pembaca yang dikenali sebagai AURAKAYA meninggalkan mesej dalam ruang komen entri tersebut bahawa isterinya berkawan baik dengan salah seorang cucu Leftenan Adnan bernama Wan Sofia Zainuddin. Akhirnya saya berjaya menjejaki mereka.

Melalui entri ini ingin saya mengucapkan terima kasih kepada AURAKAYA kerana dengan bantuan beliau akhirnya saya dapat menjejaki waris Leftenan Adnan.